Masihku ingat peristiwa dulu, tatkala aku dikhabarkan mendapat tawaran belajar ke Jordan. Duniaku yang kabur tiba-tiba menjadi terang-benderang, hatiku seakan-akan ditumbuhi bunga yang mekar, tubuhku yang longlai seolah-olah melonjak-lonjak ke awangan. Ini semuanya gara-gara berita tersebut. Apabila ku periksa diri, aku rasakan diri ku tak layak menjejak kaki ke Bumi Para Rasul itu. Mana tidaknya, keputusan SPM tak seberapa, hal agama pula aku memang tak tahu sangat. Kalau perangai? Lagilah tak layak. Boleh kata setiap hari aku ziarah bilik PK HEM. Tapi, aku tak sangka aku dapat tawaran ke situ. Walau apapun, aku anggap ia sebagai ‘ pucuk dicita ulam mendatang’.
Di rumah, ibu bapaku amat gembira, perkataan tahniah sering keluar dari mulutnya. Di benak hatiku ‘ toklah kali pertama mak bapak ku ngucap tahniah ngan aku.tp, nang jak pun, sebab toklah kali ptama aku polah kejayaan..haha’.
Semasa berjalan-jalan di kampung pula, penduduk kampung tidak ketinggalan meraikan kejayaanku kerana belum pernah lagi anak jati kampung ku berjaya menjejakkan kaki ke Jordan. Akulah orang pertama! Nasihat demi nasihat diajukan kepadaku. Terasa diriku dilayan bagaikan artis yang menjadi pujaan ramai. Indahnya hidupku.
‘Negara Jordan’, ‘Bumi Para Rasul’, ‘Tanah Arab’. Wah! Beruntungnya aku!. Nanti kalau aku dah sampai kat sana, aku akan belajar bersungguh-sungguh, aku akan buktikan kepada semua orang walaupun keputusan SPM ku tak seberapa, perangai aku yang nakal, aku mampu berjaya. Aku akan tunjukkan pada cikgu, seteruk-teruk aku ni, aku mampu berjaya. Apatah lagi jadi USTAZ, ahli agama tu! Kepada semua insan yang memandang rendah terhadap ku, kamu semua tengoklah nanti. Aku akan jadi manusia yang engkau kagumi.
Hari demi hari telah berganti, persiapan demi persiapan telah ku jalani. Akhirnya, tibalah masa untuk ku berangkat ke Jordan. Aku sedar, keberangkatan ku ini bukannya untuk diri, tapi, untuk keluarga, dan kampung. Alangkah beratnya tanggungjawab ku ini. Kapal terbang sudah ada di depan mata, nasihat ibu bapa ku masih bertapak di kotak fikiran ku. ‘ nak, mun dah sampei kat sinun, iboh lupak matlamat kitak, blaja bena-bena, iboh leka ngan hal lain. Selalu-selalu telepon kamekorang kat situk, sak mekorang sik bingong ngan kitak. Ambik ilmu banyak-banyak, iboh lupak hubungan ngan Tuhan.’
Insya– Allah ibu, ayah, keluarga dan orang kampung. Aku akan belajar bersungguh-sungguh. Segala nasihat yang telah diberikan, akan ku jadikan ia azimat hidupku.
Namun, itu dulu!
Tak ku sangka diriku ini hangat-hangat tahi ayam. Awal kedatangan ku ke Jordan, aku telah berusaha dengan jitu untuk laksanakan segala amanah. Tapi kini, alangkah beratnya untuk ku penuhinya. Segalanya telah berubah! Belajar telah menjadi perkara sampingan ku, ‘chatting’ pula menjadi keutamaan ku. Tambahan pula, aku jarang menelefon orang tua ku. Mana tidaknya, setiap kali aku dapat waktu percuma Lowrate Voip, kekasih merupakan orang pertama dari segalanya. Memanglah, kalau aku tak telefon, nanti dia fikir aku simpan perempuan lain. Bahaya tu! Ya Allah, kenapalah aku ni teruk sangat. Sepatutnya aku lebih utamakan kedua-dua orang tua ku, tapi aku tak bisa! Dulu, ibu bapaku pesan, agar aku jaga hubungan dengan Allah, tapi, sekarang ni, maksiat telah ku kaut sebanyaknya, aku tak tahu apa status diri ku di hadapan– Nya.
‘Nasi sudah menjadi bubur’. Itulah pepatah yang selayaknya bagi ku. Aku tak tahu apa tindakan susulan ku, segalanya sudah terlewat. Tetapi, mungkin ada satu yang mampu aku lakukan. Kepada semua penuntut ilmu, dengarlah nasihat orang yang menyesal ini. ‘ aku bersumpah dengan nama Allah, bahawa jangan sesekali kau utamakan benda lain melainkan belajar, mantapkanlah iman mu agar kau tak goyah dengan godaan syaitan dan runtunan nafsu mu, latihkan diri mu menghidupkan sunnah agar Allah menyayangi mu, jagalah solat mu dengan sebaiknya, galilah ilmu bermanfaat yang tak kau dapat dalam universiti mu, didiklah lisan mu untuk menyebut nama Allah, jagalah hubungan sesama manusia, selidikilah amal perbuatan mu setiap hari dan perbetulkanlah segala kekhilafan yang telah kau perbuat serta ajaklah sahabat-sahabat mu melakukan perkara yang sama agar kau tak tenggelam dalam kancah kealpaan. Ingat! Jika semua kekuatan dunia dikumpulkan untuk mengulang waktu yang telah berlaku, nescaya kekuatan itu tidak akan mampu mengulanginya walaupun sesaat.’ Fikir-fikirkan, dan selamat beramal!
No comments:
Post a Comment