 |
gambar hiasan |
Warga ianeris sekalian,
Tiada bait kata yang mampu ku ungkapkan,
Tiada syair indah yang bisa aku gubahkan,
Tiada perasaan suka yang dapat aku gambarkan
Dan bukanlah jiwa duka yang hendak aku ukirkan.
Namun, perasaan hiba dan beribu persoalan muncul dalam benak fikiran.
Mengapa insan fakir seperti ini yang menjadi pilihan?
Kenapa mesti insane fakir seperti ini yang diharapkan?
Apa yang ada pada insan fakir seperti ini yang bisa membuat perubahan?
Ingin sahaja diri ini menangis di depan kalian,
Namun tak semudah itu, kerana air mata bukan penyelesaian, penolakan bukan satu permainan, dan kebanggaan bukan satu tujuan. Yang diinginkan hanya keredaan, yang memerlukan kesabaran dan keikhlasan. Yang perlu bangkit bersama teman dan bukan keseorangan. Yang perlu melakukan banyak persediaan, jua sokongan daripada teman-teman, kerana diriku tak setabah mereka yang Allah jadikan sebagai tauladan.
Warga IANERIS yang disayangi,
P.R.E.S.I.D.E.N satu ungkapan yang mudah dituturkan namun disebalik sebutan itu tercetus pelbagai pesepsi dan ia bukanlah lafaz yang satu, tetapi ia diiringi dengan perkataan lain ; tanggungjawab, pengorbanan, kepimpinan dan sebagainya. Dan inilah keadaan saya. Memegang jawatan sebagai presiden Ikatan Anak Negeri Sarawak ( 2010/ 2011 ) mengingatkan diri ini tanggungjawab yang akan dipikul. Pilihanraya telah menjadi bukti, anda telah menginginkan saya untuk berbakti, dan saya sedar bahawa setiap undian membawa kepercayaan serta harapan dan ada yang telah mengikat semangat untuk membuat perubahan dan penambahbaikan
Jika saya harapan dan kepercayaan anda, maka saya dan ahli majlis tertinggi akan berusaha memenuhi impian bersama, bukan meletakkan diri anda di tempat yang utama, tapi saling membantu untuk merealisasikan impian kita bersama. Memang banyak titian pahit yang bakal kita jalani, bergunung ombak cabaran yang bakal diterjah. Namun, yang diperlukan kebersamaan dan semangat daripada kamu. Ayuh kita gasak perubahan, kita cipta pencapaian, untuk menjadi insan yang dikelilingi kejayaan dan diterima sang pencipta dengan penuh keredaan.
Warga IANERIS sekalian,
Untuk Pertama kali, saya ingin menyeru semua ahli IANERIS untuk rungkaikan ikatan yang merantai pemikiran kita. Kita perlu ubah pemikiran kita, bahawa kita bukanlah lepasan sekolah menengah tapi kita adalah mahasiswa universiti, kita berada di alam pra-pekerjaan. Memang! Lepasan sekolah menengah dan pra pekerjaan adalah perkara yang sama, akan tetapi, apabila kita mengatakan lepasan sekolah menengah, kita seakan-akan terikat dengan pemikiran budak sekolah menengah dan perkara ini kita ingin ubah. Kita perlu sedar kita adalah seorang mahasiswa yang berada di alam pra-pekerjaan dan dihadapan kita adalah dunia penuh pancaroba yang memerlukan pelbagai persediaan. Kita perlu sedar bahawa kita adalah harapan. Bukan hanya menjadi harapan diri semata-mata, tapi kita adalah harapan keluarga,Masyarakat, agama serta negeri kita. Di luar sana mereka mengharapkan bimbingan dan tunjuk ajar kita.
Oleh demikian sesi pentadbiran IANERIS kali ini berhasrat untuk mewujudkan satu platform bagi melahirkan mahasiswa yang berkemahiran, berintegriti, berwawasan dan berwibawa. Bagi merealisasikan impian dan hasrat ini, terdapat 11 dasar yang kita akan penuhi bersama :
1) Dasar Generasi IANERIS merupakan sebuah program yang dikenali sebagai generasi IANERIS. Dalam program ini, kita cuba melahirkan insan yang mempunyai kriteria yang terdapat dalam aksara IANERIS. I untuk ikhlas, a untuk appreciate (penghargaan), n untuk nilai, e untuk effisyen, r untuk riang, I untuk ilmu dan s untuk saudara. Hal ini bermakna, kita ingin bina diri kita dengan 7 sifat iaitu ikhlas, appreciate, yang bijak menilai, effisyen, sentiasa riang dan mempunyai ilmu serta mempunyai ukhuwah yang kukuh.
2) Dasar Kemantapan Kerohanian. Dalam dasar ini, kita ingin melahirkan mahasiswa yang mengamalkan ilmu yang dituntut dan dasar ini insya-Allah kita akan jayakan melalui program an nujum.dan program ini bukanlah untuk melahirkan nujum pak belalang, tetapi ingin melahirkan bintang-bintang agama yang terang cahaya. Dan program ini disadur daripada Sebuah program yang pernah dilaksanakan exco akademik dan tarbiah IANERIS tahun 2008/2009 yang ketika itu program dinamakan al mafatihul mahabbah.
3) Dasar Pembelajaran Sepanjang Hidup. Satu dasar yang menyeru diri kita untuk rasa kehausan dengan ilmu. Satu dasar yang memberi kesedaran kepada kita tentang kepentingan ilmu, maka, untuk itu, Kempen Aku Nak ilmu merupakan jalan untuk merealisasikan dasar ini.
4) Dasar Penglibatan Keseluruhan. Semua ahli IANERIS akan dilibatkan dengan exco yang diminati. Setelah dipersetujui, kami telah menetapkan terdapat 4 exco yang akan diwujudkan ialah, exco akademik, exco multimedia, dan exco ekonomi
5) Dasar Pencapaian Cemerlang IANERIS. Ianeris Book of Record akan diwujudkan semula. Dalam buku ini, akan dilakar segala pencapaian yang telah Ianeris raih, serta segala gambar program Ianeris sepanjang sesi. Dan buku ini diharap tidak berhenti di sesi ini sahaja, tetapi moga diteruskan pada sesi akan datang.
6) Dasar Kemahiran Insan. Ketahuilah warga IANERIS yang disayangi, zaman sudah maju, dunia telah berubah dan segala perkara yang baru memerlukan kemahiran. Untuk itu, saya tidak inginkan kita menjadi seorang yang buta it. Melalui exco multimedia, kita akan dedahkan perkara-perkara asas it yang perlu kita ketahui. Selain itu juga, softskill dalam kehidupan juga diutamakan. Moga dengan adanya dasar ini, perkara ini dapat disempurnakan
7) Dasar Keterbukaan. Satu aspek yang luas, namun yang dimaksudkan di sini adalah bagaimana kita ingin mendidik fikiran kita untuk berfikiran secara terbuka dengan menghargai apa-apa bentuk kebaikan. Dan di sini juga, saya tidak inginkan pemikiran dan pencapaian di takuk IANERIS semata-mata. Kita jangan jadikan IANERIS sebagai kayu ukur keupayaan kita, tetapi jadikanlah kejayaan yang lebih gemilang sebagai ukuran kemampuan kita.
8) Dasar Badan Kebajikan. IANERIS merupakan salah sebuah Badan Kebajikan di bawah Majlis Perwakilan Pelajar Jordan. Hal ini memberi makna bahawa tujuan utama penubuhan BKAN di bawah MPPM adalah untuk menjaga kebajikan. Dan pada sesi ini, IANERIS akan terus menjayakan tabung Ianeris atas dasar menolong kewangan sebagai pinjaman dan bukanlah pemberian.
9) Dasar Penilaian Sepanjang Sesi. Seperti yang saya katakan tadi, semua ahli ianeris akan terlibat dengan exco yang diminati. Dan setiap exco akan diberi tugasan untuk menguruskan sebuah program. Dan setiap gerak kerja anda akan dinilai melalui sistem merit-dimerit
10) Dasar Ketepatan Masa. Masa adalah anugerah Allah yang tak ternilai. Masa yang berlalu, mana mungkin bisa diulangi. Dan melalui dasar ini, saya amat menginginkan semua ahli Ianeris bertanggungjawab dengan masanya.
11) Dasar Ukhuwah Yang Erat.di dalam mendaki matlamat dan memburu impian,kita kadangkala sering dikecewakan.kita sering kesedihan,kita sering berkongsi rasa dan derita.namun tidak banyak pilhan yang tersedia bagi mereka yang ingin keluar sebagai juara.
antara gurau bicara,antara esak sendu…disebaliknya terpahat harapan yang tetap segar.masih ingin terus berjuang demi menjadi juara perlumbaan.
ada ketikanya kita seperti bertolak ke lautan yang dalam ..yang mana luasnya tidak dapat kita selam….bimbang kita bukan kepalang….bukan kerana takut dilambung ombak…tetapi soalannya….kekalkah semangat berjuang?....agar tidak lemas dan tenggelam dalam penciptaan kejayaan diri yang sedang kita cari.
oleh itu kita perlu terus berusaha untuk saling selamat menyelamatkan, untuk saling bangun membangunkan, untuk saling kuat menguatkan.
marilah kita sama-sama mempereratkan tali persaudaraan sesama kita.
Keluarga Ianeris sekalian,
Itulah tadi 11 dasar yang telah dibina untuk kita. Dasar bukan bebanan, tetapi suatu jalan, satu jalan untuk kita tempuh dugaan, menempuh dugaan dalam perjuangan, biar basah dek hujan, biar terbakar dek panas, namun perjuangan tetap perjuangan. Dan hidup kita adalah perjuangan! Perjuangan menggapai keredaan, dengan mencipta kejayaan, disamping mengira batas kemampuan, kita bangun dengan penuh cekal, cacian makian adalah lumrah dugaan, jangan rebah kerana kekecewaan, jangan terbang kerana pujian, cukuplah berjalan dengan penuh kerendahan. Untuk itu, Taatilah arahan saya selagi mana tidak bercanggah dengan agama, tentanglah, dan tegurlah saya anda diri ini melakukan kesilapan.
Kepada semua ahli Ianeris, terimalah saya dan amt lain dengan seadanya kami kerana Kami bukanlah insane yang sempurna .Sertailah program yang akan disedia kerana setiap program itu ada tujuan dan makna. Di kesempatan ini juga, ingin saya ucapkan kepada semua ahli IANERIS semoga Berjaya dalam peperiksaan yang bakal ditempuhi tidak lama lagi ayuh kita tingkatkan prestasi akademik kita
Saya rasa setakat ini sahaja ucapan saya.
“ jika ada keterlanjuran adab budi,
jika cara bicara ke alpaan diri,
jika ada keterabaian ikrar hati dan janji,
kekadang mata salah melihat,
kekadang mulut salah berucap,
kekadang hati salah menduga,
salah dan silap semua pasti ada..”
“ maaf dipinta seluas alam semesta…
semoga dunia akhirat silaturrahim kita berpanjangan….
ukhuwah itu terletak dalam kebersamaan…
bukan hanya pada pertemuan….
bukan pada bibir manisnya ucapan….
tetapi pada ingatan buat sesama kita dalam doa dan harapan………
“ jumpa anda di puncak kejayaan “