Friday, September 17, 2010

MENYESAL??



Masihku ingat peristiwa dulu, tatkala aku dikhabarkan mendapat tawaran belajar ke Jordan. Duniaku yang kabur tiba-tiba menjadi terang-benderang, hatiku seakan-akan ditumbuhi bunga yang mekar, tubuhku yang longlai seolah-olah melonjak-lonjak ke awangan. Ini semuanya gara-gara berita tersebut. Apabila ku periksa diri, aku rasakan diri ku tak layak menjejak kaki ke Bumi Para Rasul itu. Mana tidaknya, keputusan SPM tak seberapa, hal agama pula aku memang tak tahu sangat. Kalau perangai? Lagilah tak layak. Boleh kata setiap hari aku ziarah bilik PK HEM. Tapi, aku tak sangka aku dapat tawaran ke situ. Walau apapun, aku anggap ia sebagai ‘ pucuk dicita ulam mendatang’.

Di rumah, ibu bapaku amat gembira, perkataan tahniah sering keluar dari mulutnya. Di benak hatiku ‘ toklah kali pertama mak bapak ku ngucap tahniah ngan aku.tp, nang jak pun, sebab toklah kali ptama aku polah kejayaan..haha’.
Semasa berjalan-jalan di kampung pula, penduduk kampung tidak ketinggalan meraikan kejayaanku kerana belum pernah lagi anak jati kampung ku berjaya menjejakkan kaki ke Jordan. Akulah orang pertama! Nasihat demi nasihat diajukan kepadaku. Terasa diriku dilayan bagaikan artis yang menjadi pujaan ramai. Indahnya hidupku.

‘Negara Jordan’, ‘Bumi Para Rasul’, ‘Tanah Arab’. Wah! Beruntungnya aku!. Nanti kalau aku dah sampai kat sana, aku akan belajar bersungguh-sungguh, aku akan buktikan kepada semua orang walaupun keputusan SPM ku tak seberapa, perangai aku yang nakal, aku mampu berjaya. Aku akan tunjukkan pada cikgu, seteruk-teruk aku ni, aku mampu berjaya. Apatah lagi jadi USTAZ, ahli agama tu! Kepada semua insan yang memandang rendah terhadap ku, kamu semua tengoklah nanti. Aku akan jadi manusia yang engkau kagumi.
Hari demi hari telah berganti, persiapan demi persiapan telah ku jalani. Akhirnya, tibalah masa untuk ku berangkat ke Jordan. Aku sedar, keberangkatan ku ini bukannya untuk diri, tapi, untuk keluarga, dan  kampung. Alangkah beratnya tanggungjawab ku ini. Kapal terbang sudah ada di depan mata, nasihat ibu bapa ku masih bertapak di kotak fikiran ku. ‘ nak, mun dah sampei kat sinun, iboh lupak matlamat kitak, blaja bena-bena, iboh leka ngan hal lain. Selalu-selalu telepon kamekorang kat situk, sak mekorang sik bingong ngan kitak. Ambik ilmu banyak-banyak, iboh lupak hubungan ngan Tuhan.’
Insya– Allah ibu, ayah, keluarga dan orang kampung. Aku akan belajar bersungguh-sungguh. Segala nasihat yang telah diberikan, akan ku jadikan ia azimat hidupku.

Namun, itu dulu!

Tak ku sangka diriku ini hangat-hangat tahi ayam. Awal kedatangan ku ke Jordan, aku telah berusaha dengan jitu untuk laksanakan segala amanah. Tapi kini, alangkah beratnya untuk ku penuhinya. Segalanya telah berubah! Belajar telah menjadi perkara sampingan ku, ‘chatting’ pula menjadi keutamaan ku. Tambahan pula, aku jarang menelefon orang tua ku. Mana tidaknya, setiap kali aku dapat waktu percuma Lowrate Voip, kekasih merupakan orang pertama dari segalanya. Memanglah, kalau aku tak telefon, nanti dia fikir aku simpan perempuan lain. Bahaya tu! Ya Allah, kenapalah aku ni teruk sangat. Sepatutnya aku lebih utamakan kedua-dua orang tua ku, tapi aku tak bisa! Dulu, ibu bapaku pesan, agar aku jaga hubungan dengan Allah, tapi, sekarang ni, maksiat telah ku kaut sebanyaknya, aku  tak tahu apa status diri ku di hadapan– Nya.

‘Nasi sudah menjadi bubur’. Itulah pepatah yang selayaknya bagi ku. Aku tak tahu apa tindakan susulan ku, segalanya sudah terlewat. Tetapi, mungkin ada satu yang mampu aku lakukan. Kepada semua penuntut ilmu, dengarlah nasihat orang yang menyesal ini. ‘ aku bersumpah dengan nama Allah, bahawa jangan sesekali kau utamakan benda lain melainkan belajar, mantapkanlah iman mu agar kau tak goyah dengan godaan syaitan dan runtunan nafsu mu, latihkan diri mu menghidupkan sunnah agar Allah menyayangi mu, jagalah solat mu dengan sebaiknya, galilah ilmu bermanfaat yang tak kau dapat dalam universiti mu, didiklah lisan mu untuk menyebut nama Allah, jagalah hubungan sesama manusia, selidikilah amal perbuatan mu setiap hari dan perbetulkanlah segala kekhilafan yang telah kau perbuat serta ajaklah sahabat-sahabat mu melakukan perkara yang sama agar kau tak tenggelam dalam kancah kealpaan. Ingat! Jika semua kekuatan dunia dikumpulkan untuk mengulang waktu yang telah berlaku, nescaya kekuatan itu tidak akan mampu mengulanginya walaupun sesaat.’ Fikir-fikirkan, dan selamat beramal!

Wednesday, September 15, 2010

Ucapan Ketika Pertabalan Sebagai Presiden IANERIS 10/ 11

gambar hiasan


Warga ianeris sekalian,

Tiada bait kata yang mampu ku ungkapkan,
Tiada syair indah yang bisa aku gubahkan,
Tiada perasaan suka yang dapat aku gambarkan
Dan bukanlah jiwa duka yang hendak aku ukirkan.
Namun, perasaan hiba dan beribu persoalan muncul dalam benak fikiran.
Mengapa insan fakir seperti ini yang menjadi pilihan?
Kenapa mesti insane fakir seperti ini yang diharapkan?
Apa yang ada pada insan fakir seperti ini yang bisa membuat perubahan?
Ingin sahaja diri ini menangis di depan kalian,
Namun tak semudah itu, kerana  air mata bukan penyelesaian, penolakan bukan satu permainan, dan kebanggaan bukan satu tujuan. Yang diinginkan hanya keredaan, yang memerlukan kesabaran dan keikhlasan. Yang perlu bangkit bersama teman dan bukan keseorangan. Yang perlu melakukan banyak persediaan, jua sokongan daripada teman-teman, kerana diriku tak setabah mereka yang Allah jadikan sebagai tauladan.

Warga IANERIS yang disayangi,

P.R.E.S.I.D.E.N satu ungkapan yang mudah dituturkan namun disebalik sebutan itu tercetus pelbagai pesepsi dan ia bukanlah lafaz yang satu, tetapi ia diiringi dengan perkataan lain ; tanggungjawab, pengorbanan, kepimpinan dan sebagainya. Dan inilah keadaan saya. Memegang jawatan sebagai presiden Ikatan Anak Negeri Sarawak ( 2010/ 2011 ) mengingatkan diri ini tanggungjawab yang akan dipikul. Pilihanraya telah menjadi bukti, anda telah menginginkan saya untuk berbakti, dan saya sedar bahawa setiap undian membawa kepercayaan serta harapan dan ada yang telah mengikat semangat untuk membuat perubahan dan penambahbaikan

Jika saya harapan dan kepercayaan anda, maka saya dan ahli majlis tertinggi  akan berusaha memenuhi impian bersama, bukan meletakkan diri anda di tempat yang utama, tapi saling membantu untuk merealisasikan impian kita bersama. Memang banyak titian pahit yang bakal kita jalani, bergunung ombak cabaran yang bakal diterjah. Namun, yang diperlukan kebersamaan dan semangat daripada kamu. Ayuh kita gasak perubahan, kita cipta pencapaian, untuk menjadi insan yang dikelilingi kejayaan dan diterima sang pencipta dengan penuh keredaan.

Warga IANERIS sekalian,

Untuk Pertama kali, saya ingin menyeru semua ahli IANERIS untuk rungkaikan ikatan yang merantai pemikiran kita. Kita perlu ubah pemikiran kita, bahawa kita bukanlah lepasan sekolah menengah tapi kita adalah mahasiswa universiti, kita berada di alam pra-pekerjaan. Memang! Lepasan sekolah menengah dan pra pekerjaan adalah perkara yang sama, akan tetapi, apabila kita mengatakan lepasan sekolah menengah, kita seakan-akan terikat dengan pemikiran budak sekolah menengah dan perkara ini kita ingin ubah. Kita perlu sedar kita  adalah seorang mahasiswa yang berada di alam pra-pekerjaan dan dihadapan kita adalah dunia penuh pancaroba yang memerlukan pelbagai persediaan. Kita perlu sedar bahawa kita adalah harapan. Bukan hanya menjadi harapan diri semata-mata, tapi kita adalah harapan keluarga,Masyarakat, agama serta negeri kita. Di luar sana mereka mengharapkan bimbingan dan tunjuk ajar kita.

Oleh demikian sesi pentadbiran IANERIS kali ini berhasrat untuk mewujudkan satu platform bagi melahirkan mahasiswa yang berkemahiran, berintegriti, berwawasan dan berwibawa. Bagi merealisasikan impian dan hasrat ini, terdapat 11 dasar yang kita akan penuhi bersama :

1) Dasar Generasi IANERIS merupakan  sebuah program yang dikenali sebagai generasi IANERIS. Dalam program ini, kita cuba melahirkan insan yang mempunyai kriteria yang terdapat dalam aksara  IANERIS. I untuk ikhlas, a untuk appreciate (penghargaan), n untuk nilai, e untuk effisyen, r untuk riang, I untuk ilmu dan s untuk saudara. Hal ini bermakna, kita ingin bina diri kita dengan 7 sifat iaitu ikhlas, appreciate, yang bijak menilai, effisyen, sentiasa riang dan mempunyai ilmu serta mempunyai ukhuwah yang kukuh.
2)  Dasar Kemantapan Kerohanian. Dalam dasar ini, kita ingin melahirkan mahasiswa yang mengamalkan ilmu yang dituntut dan dasar ini insya-Allah kita akan  jayakan melalui program an nujum.dan program ini bukanlah untuk melahirkan nujum pak belalang, tetapi ingin melahirkan bintang-bintang agama yang terang cahaya. Dan program ini disadur daripada  Sebuah program yang pernah dilaksanakan exco akademik dan tarbiah IANERIS tahun 2008/2009 yang ketika itu program dinamakan al mafatihul mahabbah.
3) Dasar Pembelajaran Sepanjang Hidup. Satu dasar yang menyeru diri kita untuk rasa kehausan dengan ilmu. Satu dasar yang memberi kesedaran  kepada kita tentang kepentingan ilmu, maka, untuk itu, Kempen Aku Nak ilmu merupakan jalan untuk merealisasikan dasar ini.
4) Dasar Penglibatan Keseluruhan. Semua ahli IANERIS akan dilibatkan dengan exco yang diminati. Setelah dipersetujui, kami telah menetapkan terdapat 4 exco yang akan diwujudkan ialah, exco akademik, exco multimedia, dan exco ekonomi
5) Dasar Pencapaian Cemerlang IANERIS. Ianeris Book of Record akan diwujudkan semula. Dalam buku ini, akan dilakar segala pencapaian yang telah Ianeris raih, serta segala gambar program Ianeris sepanjang sesi. Dan buku ini diharap tidak berhenti di sesi ini sahaja, tetapi moga diteruskan pada sesi akan datang.
6) Dasar Kemahiran Insan. Ketahuilah warga IANERIS yang disayangi, zaman sudah maju, dunia telah berubah dan segala perkara yang baru memerlukan kemahiran. Untuk itu, saya tidak inginkan kita menjadi seorang yang buta it. Melalui exco multimedia, kita akan dedahkan perkara-perkara asas it yang perlu kita ketahui. Selain itu juga, softskill dalam kehidupan juga diutamakan. Moga dengan adanya dasar ini, perkara ini dapat disempurnakan
7) Dasar Keterbukaan. Satu aspek yang luas, namun yang dimaksudkan di sini adalah bagaimana kita ingin mendidik fikiran kita untuk berfikiran secara terbuka dengan menghargai apa-apa bentuk kebaikan. Dan di sini juga, saya tidak inginkan pemikiran dan pencapaian di takuk IANERIS semata-mata. Kita jangan jadikan IANERIS sebagai kayu ukur keupayaan kita, tetapi jadikanlah kejayaan yang lebih gemilang sebagai ukuran kemampuan kita.
8) Dasar Badan Kebajikan. IANERIS merupakan salah sebuah Badan Kebajikan di bawah Majlis Perwakilan Pelajar Jordan. Hal ini memberi makna bahawa tujuan utama penubuhan BKAN di bawah MPPM adalah untuk menjaga kebajikan. Dan pada sesi ini, IANERIS akan terus menjayakan tabung Ianeris atas dasar menolong kewangan sebagai pinjaman dan bukanlah pemberian.
9) Dasar Penilaian Sepanjang Sesi. Seperti yang saya katakan tadi, semua ahli ianeris akan terlibat dengan exco yang diminati. Dan setiap exco akan diberi tugasan untuk menguruskan sebuah program. Dan setiap gerak kerja anda akan dinilai melalui sistem merit-dimerit
10) Dasar Ketepatan Masa. Masa adalah anugerah Allah yang tak ternilai. Masa yang berlalu, mana mungkin bisa diulangi. Dan melalui dasar ini, saya amat menginginkan semua ahli Ianeris bertanggungjawab dengan masanya.
11) Dasar Ukhuwah Yang Erat.di dalam mendaki matlamat dan memburu impian,kita kadangkala sering dikecewakan.kita sering kesedihan,kita sering berkongsi rasa dan derita.namun tidak banyak pilhan yang tersedia bagi mereka yang ingin keluar sebagai juara.
antara gurau bicara,antara esak sendu…disebaliknya terpahat harapan yang tetap segar.masih ingin terus berjuang demi menjadi juara perlumbaan.
ada ketikanya kita seperti bertolak ke lautan yang dalam ..yang mana luasnya tidak dapat kita selam….bimbang kita bukan kepalang….bukan kerana takut dilambung ombak…tetapi soalannya….kekalkah semangat berjuang?....agar tidak lemas dan tenggelam dalam penciptaan kejayaan diri yang sedang kita cari.
oleh itu kita perlu terus berusaha untuk saling selamat menyelamatkan, untuk saling bangun membangunkan, untuk saling kuat menguatkan.

marilah kita sama-sama mempereratkan tali persaudaraan sesama kita.
Keluarga Ianeris sekalian,
Itulah tadi 11 dasar yang telah dibina untuk kita. Dasar bukan bebanan, tetapi suatu jalan, satu jalan untuk kita tempuh dugaan, menempuh dugaan dalam perjuangan, biar basah dek hujan, biar terbakar dek panas, namun perjuangan tetap perjuangan. Dan hidup kita adalah perjuangan! Perjuangan menggapai keredaan, dengan mencipta kejayaan, disamping mengira batas kemampuan, kita bangun dengan penuh cekal, cacian makian adalah lumrah dugaan, jangan rebah kerana kekecewaan, jangan terbang kerana pujian, cukuplah berjalan dengan penuh kerendahan. Untuk itu, Taatilah arahan saya selagi mana tidak bercanggah dengan agama, tentanglah, dan tegurlah saya anda diri ini melakukan kesilapan.
Kepada semua ahli Ianeris, terimalah saya dan amt lain dengan seadanya kami kerana  Kami bukanlah insane yang sempurna .Sertailah program yang akan disedia kerana setiap program itu ada tujuan dan makna. Di kesempatan ini juga, ingin saya ucapkan kepada semua ahli IANERIS  semoga Berjaya dalam peperiksaan yang bakal ditempuhi tidak lama lagi ayuh kita tingkatkan prestasi akademik kita
Saya rasa setakat ini sahaja ucapan saya.
“ jika ada keterlanjuran adab budi,
  jika cara bicara ke alpaan diri,
jika ada keterabaian ikrar hati dan janji,
kekadang mata salah melihat,
kekadang mulut salah berucap,
kekadang hati salah menduga,
salah dan silap semua pasti ada..”

“ maaf dipinta seluas alam semesta…
semoga dunia akhirat silaturrahim kita berpanjangan….
ukhuwah itu terletak dalam kebersamaan…
bukan hanya pada pertemuan….
bukan pada bibir manisnya ucapan….
tetapi pada ingatan buat sesama kita dalam doa dan harapan………

“ jumpa anda di puncak kejayaan “

Wednesday, April 14, 2010

من انا؟



Siapa Empunya Diri?
namaku hasibullah bin roslan. dulu bersekolah di Sekolah Kebangsaan Buntal dari darjah 1 hingga darjah 6. kemudian aku menyambung pelajaran sebentar di SMK Santubong dan seterusnya melanjutkan pelajaran di SMK (A) Matang. dan Alhamdulillah, sekarang aku belajar di Universiti Al al Bayt, Jordan dalam bidang Fiqh wa Usuluh (Syariah).

Pelajar Syariah?
sebenarnya aku tak sangka boleh belajar syariah sebab cita-cita aku masa kecik nak jadi doktor. tapi kan, masa tu aku tak suka sains. pelik kan? hihi..namun, segalanya berubah bila aku masuk sekolah menengah AGAMA. cita-cita doktor terus padam dalam diari hidupku. kenapa ya? WALLHu a'lam. tapi kan, blajar agama pun boleh jadi doktor juga. doktor perkara yang batin. doktor emosi dan lain-lain. ada macam doktor sikit pun jadilah! hehe..3ala kulli hal, aku bersyukurlah sebab ALLAH pilih aku untuk menerokai ilmu yang mendekatkan diri pada-Nya. moga aku dan umat ditetapkan hati dalam ketaatan terhadapMU ya ALLAH.

apa keistimewaan?
daripada pandangan mataku, tiada yang istimewa dalam hidupku melainkan nikmat agama ISLAM yang ku kecapi sekarang. mengapa ya? kamu ada jawapannya. dengan agama aku kenal aku siapa. dengan agama aku kenal apa itu dugaan, dengan agama aku kenal apa itu maksud hidup dan banyak lagi. alangkah sengsara hidup apabila manusia tanpa agama. tak dapat kenal siapa pencipta, tak nampak kebaikan dan keburukan di sisi ALLAH di akhirat. Ya ALLAH! innaka yahdi man yasyaa'. wahdin nassa jami3an.. amiin

apa keburukan?
kalau bab ini, memang aku akui. betapa banyaknya keburukan aku. namun, menceritakan keburukan sendiri tidak diharuskan dalam Islam,. maka aku ambil keputusan untuk tidak menceritakan keaiban aku sendiri. maaf ye. hehe.kalau aku ceritakan pun, tiada gunanya, sebab tak ramai membacanya. daripada yang membacanya, berapa orang sahaja yang bagi komen? tapi aku tak harapkan komen cuma harap dapat ambik manfaat sahaja.

kenapa berblog?
soalan yang agak susah untuk di jawab. namun secara peribadi, aku tulis blog ini untuk tingkatkan kemahiran penulisan dan ketangkasan menaip sebab aku nampak diri aku agak kurang kreatif dalam menbina ayat dalam karangan atau kertas kerja. maka, dengan blog ini, aku tak kisah orang baca ataupun tak, asalkan kemahiran dan ketangkasan ku dapat dibina. mudah-mudahan aku buat ini dalam reda ALLAH taala. reda ALLAH taala? ALLAH suruh berblog ke? memang ALLAH tak suruh berblog, tapi, ini salah satu cara untuk ajak orang ke jalan-Nya. ada orang yang suka membaca, kalau tulisan kita baik, mana tau, ALLAH boleh jadikannya sebagai sebab hidayah. namun, apa yang perlu ditegaskan, hidup perlu ikut tertib. apa yang dimaksudkan dengan tertib ialah, apa yang didahulu, dahulukan, yang kemudian, kemudian kan. seandainya tertib ini dilanggar, maka amat tidak wajar untuk aku berblog. berbalik tentang guna tulisan untuk ajak orang ke jalan-Nya, cara ini tiada jaminan dan janji ALLAH terhadapnya namun, ALLAH boleh lakukannya. berbelitkan ayat aku? cuba lah untuk memahami, kalau tak faham, tinggalkanlah!

skemanya ayat!
aku sengajakan untuk skema dalam penulisan agar matlamat aku tercapai. mungkin ada yang jijik membaca tulisan aku. aku minta maaflah, tak dapat den nak tolong.hehe.. aku bukan noghori ah.. aku orang sarawak. 3ala kulli hal, semua kita sama! yang membezakan kita adalah iman dan takwa. tak kira di mana kamu berada, selagi ada kalimah Lailaha illallah muhammadurrasulullah dalam diri kamu, kayu ukur kita adalah iman dan takwa.
قال ألله تعالى : ان اكرمكم عند ألله اتقاكم
firman ALLAH taala : sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi ALLAH adalah orang yang paling bertakwa
(al hujurat : 13)

قال النبي صلى الله عليه وسلم : كلكم لآدم و آدم من التراب, لا فضل لعربي و أعجمي الا بالتقوى
sabda nabi s.a.w : setiap kamu daripada Adam, dan Adam adalah daripada tanah, tiada keistimewaan untuk orang Arab terhadap orang 'ajam (bukan arab) melainkan ketakwaan.


penutup
setakat ini sahaja aku nak tulis. moga kita dapat manfaat bersama. kalau ada silap, aku sedia mendengar dan menerimanya selagi mana bertetapan dengan kehendak agama. inginku petik kata imam as syafii

"مَنْ وَعَظَ أَخَاهُ سِرًّا فَقَدْ نَصَحَهُ وَزَانَهُ، وَمَنْ وَعَظَهُ عَلاَنِيَّةً فَقَدْ فَضَحَهُ وَشَانَهُ"
“Siapa yang memberi mauizhah (peringatan) kepada saudara secara rahsia, maka ia telah menasihati dan memperbaikinya, dan siapa yang memberi mauizhah secara terbuka, bererti ia telah membuka aibnya dan memperburukkannya”
kalau ada pandangan yang berbeza daripadaku, aku terima dan hormatinya. sekian, terima kasih

Penenang Jiwa