Cinta.
Aku dah bosan dengan cinta. Ada apa dengan cinta? Keindahan? Kebahagiaan? Keseronokan? Ah! Itu semua palsu! Tiada yang ku jumpa dengan cinta melainkan kejelikan, kesengsaraan dan keresahan. Bahkan lebih dari itu. Aku benci cinta. Aku sudah serik bercinta. Apa yang dilakukan selama bercinta ku rasa sia-sia. Bermanja? Bermesra? Berkasih-sayang? Semua itu tipu! Pergi mampus kau cinta. Orang yang bercinta semuanya berdrama. Tak ada dalam kalangan mereka yang bahagia. Tiada yang merasai akan seronoknya cinta. Itu adalah drama yang tak kan kekal selamanya. Aku telah berusaha menjaga cinta. Tapi ternyata aku telah dikhianati cinta. Cinta adalah sandiwara manusia.
Cinta itu fitrah.
Memang benar cinta itu fitrah. Tapi, adakah kesusahan dan kesengsaraan fitrah manusia? Mustahil! Cinta mendera kehidupan saya. Inikah fitrah? Siapa lari dari fitrah ni? Saya atau kamu?
Cinta perlu kesabaran.
Sabar? Aku manusia biasa. Setiap manusia ada tahap kesabarannya. Sampai bila aku perlu bersabar? Sampai aku mati? Kalau dah mati, bagaimana aku nak rasa bahagia dengan cinta?
Cinta mementingkan kejujuran dan kesetiaan.
Aku dah jemu dengar perkara ini. Jujur dan setia adalah omongan kosong. Di depan sumpah setia tapi di belakang dia curangi aku tanpa curiga. Manis bicara memujukku apabila merajuk. Cakap aku ini intan permata, tiada yang sempurna dan dicintai selain aku. Tapi bila dah jumpa yang lain, aku ini ibarat intan yang tak berjenama dan serba kecacatan. Inikah setia? Inikah kejujuran?
Berkorbanlah demi pencintaan, nescaya kamu akan rasa kemanisannya.
Setiap hari aku telefon dia. Tak cukup dengan telefon, aku hantar mesej. Apabila dia tak berteman, aku batalkan semua rancangan hanya untuk menemani dia. Tatkala dia punya masalah aku cuba menjadi hero untuk selesaikan masalah dia termasuk masalah peribadi. Tak cukupkah pengorbanan yang aku curahkan? Mana kemanisannya? Ini bukan manis. Tapi pahit. Bukan sahaja pahit tapi kelat.
Cinta adalah inspirasi hidup insan.
Bohong! Kalau cinta itu inspirasi insan, maka aku akan berjaya. Tengoklah aku ini. Duit berjuta rupiah. Rumah belasan tingkat. Namun, ku tak dapat rasa kejayaan yang telah aku cipta. Cinta pemusnah hidup insan. Ini yang sebetulnya.
Cinta itu buta.
Memang betul. Aku sokong sepenuhnya pernyataan ini. Cinta membutakan mata manusia akan kejelikan cinta sehingga manusia berpura-pura bahagia. Cinta itu bukan sahaja membutakan mata manusia bahkan menyebabkan otak manusia gila dan menjadi bodoh akan kebahagian yang sebenar, pekak mendengar nasihat orang,. Sudahlah! Aku benci cinta. Aku anti cinta. Tak perlu berdalih lagi. akuilah bahawa cinta perosak,pembunuh dan pengkhianat. Usah menegakkan benang yang basah.
Salah bercinta
Kau ingat aku sudah bodoh. Kau ingat aku tak tau apa itu cinta? Aku manusia yang masih berfikiran waras. Aku telah bercinta dengan insan yang bernama wanita. Salahkah aku, sebagai lelaki mencintai wanita? Aku bukannya meminati laki-laki. Aku tak lari dari fitrah. Aku bukannya bercinta dengan binatang. Salahkah aku?
Memang salah! Izinkan ana pula bercakap. Kau salah bercinta. Kau perlu tahu cinta itu banyak. Bukan satu tapi berjuta. Dalam jutaan cinta itu, kau perlukan satu cinta sahaja. Dengan satu cinta, maka kau akan dicintai jutaan cinta. Jutaan cinta akan hadir tanpa dipinta. Kejarlah satu cinta itu, nescaya kau akan kenal cinta yang sebenar.
Oh ya? Usah kau bohongi aku. Usah kau bergurau dengan ku. Mana mungkin dengan satu cinta ku dapat jutaan cinta. Kau masih normalkah?
Duhai saudaraku, aku tak perlu jawab soalan kau itu. Bila kau dengar penjelasan aku ini, maka kau akan tahu siapa sebenarnya yang normal atau sebaliknya.
Baik. Silakan. Jangan kau buang masa aku
Satu Cinta
Satu Cinta yang sentiasa memberi tanpa diberi. Satu Cinta yang tidak memerlukan orang mencintainya tetapi dia tetap mencintai. Darinya,pemberian yang menggunung tinggi, kebahagian yang kekal abadi. Di hadapan manusia biasa mungkin mereka fikir kita derita, tapi dihati, sentiasa rasa indah tanpa rasa gusar. Diri terdorong rasa ingin susah. Kerana kesusahan itu merupakan jalan untuk mendapat kemanisan dari satu cinta. Satu cinta yang menunaikan janjinya. Dengannya kau akan rasa tenteram dan tenang. Satu cinta yang menyebabkan engkau kembali kepada fitrah. Fitrah insani. Fitrah yang membahagiakan bukan menderitakan sepertimana yang kau cakapkan. Satu cinta yang memestikan dugaan datang. Maka kesabaranmu diperlukan kerana satu cinta itu ingin melihat keikhlasanmu terhadapnya. Kesabaranmu akan dihargainya dengan hadiah yang tak diduga. Kejujuran dan kesetiaanmu tak akan dipersiakan kerana itu semua dalam pengetahuannya dan akan dibalas berdasarkan apa yang telah dicurahkan bahkan lebih dari itu. Maka, selayaknya Satu cinta dijadikan inspirasi hidupmu. Satu cinta yang telah menetapkan matlamatmu untuk berjaya. Tatkala kau lemah tak berdaya, kalamnya sentiasa ada menguatkanmu. Tatkala kau buntu, dia memberi jalan yang harus dituju. Dikala resah, mengingatinya sudah memadai untuk menenangkan jiwa. Satu cinta yang menyebabkan engkau celik akan cinta. Bukan buta terhadap cinta. Satu cinta adalah cintakan ilahi!.
Saudaraku, Cinta itu suci. Jangan kau kotori dengan nafsu yang ada di dalam diri. Tunaikanlah hak cinta! Jangan zalimi cinta. Letaklah cinta di tempat dan masa yang sepatutnya. Wallahu a’lam